[PARLIMEN] BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan Dewan Rakyat, sejak 2018 lima laporan polis dibuat berhubung penyelewengan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH)
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, namun sehingga kini tiada siasatan mengenainya dijalankan oleh pihak Peguam Negara dan beliau mohon pencerahan mengenai perkara itu.
“Saya ingin jelaskan dalam Dewan yang mulia ini, walaupun tiada siasatan dibuka dalam kes TH, tetapi saya ingin menegaskan ada lima laporan polis sejak 2018 hanya pihak Peguam Negara yang belum membuka siasatan.
“Oleh itu saya ingin bertanya kepada Menteri Perundangan bilakah siasatan ini akan dibuat walaupun lima laporan polis dibuat dan laporan itu ada merit dari sudut ia menyebabkan isu-isu tidak amahan, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), hari ini.
Menurutnya, selama dua tahun Pakatan Harapan (PH) memerintah, TH yang menjadi satu contoh institusi orang Melayu Islam 100 peratus berjaya dipulihkan.
“Sebelum kami terima ia berada dalam keadaan cukup parah, tetapi dalam usaha yang diikat dengan integriti, tanggungjawab dan amanah maka dua tahun itu telah melihat pemulihan TH,” katanya.
Beliau memohon supaya siasatan dibuka oleh pihak Peguam Negara berhubung laporan polis itu kerana ia membabitkan institusi orang Melayu dan Islam.
“Agar isu Melayu, Islam kita nak ajar mesti mengikut integriti dan amanah barulah orang Melayu, orang Islam boleh maju ke hadapan,” katanya.
Beliau sebelum itu menyentuh mengenai isu Bumiputera dan Melayu yang sentiasa dimasukan dalam semua elemen pembangunan negara. – Malaysiapost

