Percepat pindaan undang-undang berkaitan bunuh diri – Dr Wan Azizah

0
2

[PARLIMEN] PINDAAN terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan perlu dipercepatkan supaya tindakan cubaan membunuh diri tidak dikira sebagai satu jenayah, selepas mengambil kira peningkatan masalah kesihatan mental rakyat susulan pandemik Covid-19.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata banyak tragedi menyayat hati telah berlaku terutama impak daripada wabak berkenaan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kemelut pandemik Covid-19 mengakibatkan ramai anak yang menjadi yatim dan yatim piatu serta meninggalkan kesan kepada rakyat dari segi mental dan fizikal.

“Ramai yang kehilangan pekerjaan dan hilang punca pendapatan kerana tidak dapat meneruskan perniagaan. Ramai wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Ramai juga menjadi semakin murung dan resah kerana berkurung dalam rumah

“Kebanyakan mereka hilang kemahuan untuk terus hidup dan memilih jalan pintas untuk menamatkan hidup mereka,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, jumlah kes bunuh diri yang dilaporkan dari Januari ke Julai tahun ini sahaja sudah melebihi statistik keseluruhan jumlah bunuh diri pada 2020.

“Banyak tragedi berlaku yang menyayatkan hati. Jadi persoalannya apa perancangan atau tumpuan dalam menangani peningkatan masalah mental dalam negara kita terutama impak daripada pandemik Covid-19

“Sekarang ini menjadi lebih mendesak supaya boleh percepatkan (pindaan) Seksyen 309 Kanun Keseksaan supaya cubaan bunuh diri itu tidak dikira sebagai satu jenayah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here