KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menafikan lima remaja meninggal dunia selepas menerima vaksinasi Covid-19 di Perak, Sabah dan lokasi yang tidak dimaklumkan seperti satu video tular yang dilaporkan dimuatnaik oleh seorang aktivis.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata kenyataan dibuat dalam video berkenaan mendakwa dua pelajar Sekolah Menengah Tasek Damai, lpoh meninggal dunia selepas diberi vaksin dan seorang lagi di Lahad Datu.
Sehubungan itu, katanya, siasatan telah dijalankan terhadap kenyataan tersebut.
“Hasil siasatan, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun merupakan pelajar Tingkatan 5 di SMK Tasek Damai.
“Beliau adalah pesakit penyakit kencing manis Jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin. Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos 2021 sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Noor Azmi berkata, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di sekolah sama pula didapati menghidap penyakit Jantung Kongenital dan telah dibawa ke Unit Kecemasan hospital akibat jangkitan kuman yang teruk.
“Bantuan pernafasan dan resusitasi telah diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September 2021 dan belum menerima vaksin Covid-19. Punca kematian adalah ‘Sepsis with Underlying Congenital Health Disease’.
“Selain itu tidak ada kematian melibatkan remaja selepas vaksinasi dilaporkan di Lahad Datu,” katanya.
Mengulas pula mengenai kenyataan aktivis tersebut yang menyatakan solidariti kepada seorang ibu di mana kedua-dua anaknya kini sedang mengalami kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) di Ipoh, Dr Noor Azmi berkata kedua-duanya kini dirawat di sebuah hospital sawsta.
“Dua anak beliau berusia 16 hingga 18 tahun mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh.
“Anak yang berusia 16 tahun telah dibenarkan keluar dari hospital manakala remaja berusia 18 tahun masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital tersebut.
“Semakan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan dua beradik ini masih belum diterima,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.
Pada masa sama, katanya, penyebaran maklumat tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab.
“KKM menasihatkan semua pihak yang ingin membuat kenyataan umum supaya bersedia untuk bertanggungjawab ke atas kesan dan implikasi daripada tindakan yang dibuat.
“Sebelum mengeluarkan maklumat awam, pastikan sumber maklumat yang ingin dikongsi disahkan terlebih dahulu dengan sumber sahih atau pihak bertanggungjawab.
“Kenyataan yang salah akan menyebabkan kekeliruan dan salah tanggap ibu bapa terhadap Program Vaksinasi Covid-19 untuk Remaja,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty kerana kesan sampingan selepas vaksinasi boleh berlaku dan kebanyakan kesan adalah kesan ringan.
“Sila bawa anak atau tanggungan ke fasiliti kesihatan dengan segera untuk rawatan sekiranya mengalami gelaja selepas menerima vaksin seperti sakit dada, sukar bernafas, berdebar-debar, bengkak dan gatal pada tubuh yang teruk,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Twitter/Dr Noor Azmi Ghazali

