PARTI Warisan Sabah (Warisan) meminta kerajaan membatalkan dasar semua syarikat dalam industri logistik tempatan untuk mendapatkan 51 peratus ekuiti Bumiputera.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dasar itu yang akan berkuatkuasa pelaksanaannya pada 1 Disember 2022 adalah satu bentuk diskriminasi ke atas pemain industri tempatan.
“Ini kerana keperluan 51 peratus ekuiti Bumiputera yang ditetapkan adalah tidak terpakai kepada syarikat antarabangsa atau asing. Warisan difahamkan ini kerana industri ini telah diliberalisasikan di bawah kebanyakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
“Oleh yang demikian, mana-mana syarat berbentuk menindas syarikat asing boleh dikira suatu pelanggaran di bawah FTA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shafie menjelaskan, tidak adil bagi kerajaan mengenakan pula penetapan ekuiti ini kepada pemain industri tempatan.
“Jika kerajaan memutuskan untuk meliberalisasikan industri ini dan terbuka kepada syarikat antarabangsa tanpa apa-apa syarat lain (sebagaimana prinsip “national treatment” di bawah FTA), seharusnya prinsip sama terpakai kepada pemain tempatan,” katanya.
Justeru, Mohd Shafie berkata, Warisan menyarankan agar kerajaan meneliti sepenuhnya pelaksanaan dasar itu, terutama kesediaan pemain Bumiputera untuk membeli ekuiti syarikat-syarikat berkenaan.
“Sekiranya tidak dikaji dengan baik, dikhuatiri kebanyakan syarikat dalam industri ini tidak akan bertahan dan terpaksa gulung tikar.
“Ini lagi membimbangkan sekiranya peratusan pembeli Bumiputera yang layak dan mampu untuk mengambil alih ekuiti dalam industri adalah rendah, terutamanya ketika negara mengharungi pandemik Covid-19.
“Apa yang membimbangkan, besar kemungkinan pemain industri tempatan terpaksa menjual syarikat mereka kepada syarikat asing jika dasar itu dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, mengikut data dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari 37.2 peratus pada tahun 2011 kepada 45.3 peratus pada tahun 2015.
“Pegangan ekuiti bukan Bumiputera menurun dari 34.8 peratus kepada 30.7 peratus dalam tempoh yang sama. Manakala pemilikan ekuiti Bumiputera turut jatuh dari 23.4 peratus kepada 16.2 peratus.
“Sehubungan itu, Warisan menolak sebarang bentuk diskriminasi ke atas syarikat tempatan sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera yang mana akan menguntungkan syarikat asing,” katanya. – Malaysiapost

