KPM laksana pelbagai usaha tangani kekurangan guru Pendidikan Islam

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyedari tentang kekurangan guru Pendidikan Islam di seluruh negara dan sentiasa melaksanakan pelbagai usaha untuk menanganinya.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin, berkata berdasarkan statistik setakat 30 Ogos lalu negara hanya mempunyai 40,713 guru agama bagi sekolah rendah dan 16,024 lagi di sekolah menengah ketika ini.

“KPM faham mengenai kekurangan guru agama di seluruh negara. Kami sentiasa berusaha menambah bilangan guru ini.

“Sebagai contoh di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kami berbincang untuk menubuhkan Fakulti Pengajian Islam ke arah membantu menambah bilangan guru agama di Sabah,” katanya dalam Sidang Dewan di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai usaha kerajaan menangani masalah kekurangan guru Pendidikan Islam di seluruh negara.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai menjadikan Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran teras bagi pelajar beragama Islam yang menurutnya ia sudah dilaksanakan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pendidikan 1996.

Mohamad, berkata KPM mungkin juga boleh berbincang mengenai mewujudkan Fakulti Pengajian Islam di universiti lain di semua negeri.

“Kita akan mencari jalan sesuai untuk berbincang dengan semua institusi pendidikan, termasuk universiti tempatan, bagi melahirkan lebih ramai guru agama yang kompeten,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here