DATUK Seri Najib Razak hari ini mempertahankan wang yang dibayar beliau kepada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan pihak-pihak lain yang berdepan kes di mahkamah adalah dari dana Kementerian Kewangan Arab Saudi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata dana kira-kira RM642 juta itu disalurkan kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk digunakan bagi kerja-kerja khidmat sosial (CSR).
“Wang yang saya bayar kepada Ahmad Maslan dan kesemua pihak di atas untuk kerja CSR itu berasal dari dana sekurang-kurangnya RM642 juta yang saya terima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi dan ini telah dibuktikan banyak kali dalam perbicaraan mahkamah.
“Kenapa pula kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu kata ia wang haram dari 1MDB dan mengenakan tindakan mahkamah (mengikut) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) ke atas berpuluh-puluh entiti termasuk Umno dan BN sehingga kita dihina, disusahkan dan perlu menanggung kos peguam berjuta-juta ringgit?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Najib berkata sehingga hari ini, tiada seorang pun dari PH berani menafikan atau mengaku perkara itu walaupun berkali-kali dibuktikan dalam perbicaraan mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak bank.
Beliau turut berkongsi laporan berita pada Ogos 2019 yang memetik Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas SPRM yang mengesahkan kemasukan dana RM642 juta daripada Putera Faisal Turki dan Kementerian Kewangan Riyadh, ke akaun bank peribadi Najib.
Terdahulu hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ahmad Maslan atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytihar RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pontian itu berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun RM1.1 juta semalam.
Sebelum ini, Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri Ahmad, pada hari sama.
Mengulas mengenainya, Najib berkata Ahmad dilepas dan dibebaskan di mahkamah berhubung dana diterimanya dari beliau sebelum PRU14.
Beliau berkata, pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes terhadap Ahmad setelah kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes dengan bayaran kompaun RM1.1 juta.
“Ahmad juga tidak mengaku salah dalam kes ini tetapi memilih untuk membayar kompaun untuk jimat masa, elak masalah berterusan berhubung imej beliau dan jimat kos guaman.
“Jika diteruskan kes ini juga, saya percaya kerajaan juga akan kalah kes ini seperti kes-kes sebelum ini,” katanya.
Antara kes-kes lucut hak dan AMLA kerajaan yang juga ditolak mahkamah sejak 2019 yang dikongsi Najib menerusi hantaran itu termasuk kes melibatkan lucut hak wang Jakel dan BN Johor Bahru, Yayasan Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBAKM) serta beberapa kes SPRM gagal lucut hak wang dikaitkan dengan 1MDB. – Malaysiapost

