[PARLIMEN] PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini sedikit gamat apabila Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) menyindir peranan PAS di dalam kerajaan.
Mohamad yang juga Presiden Amanah bangun mencelah ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam sesi perbahasan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hari ini.
“Jangan hina kerajaan, kan ulama banyak dalam kerajaan, ini menghina kerajaan yang disokong oleh ulama kenapa ni?,” sindirnya.
Susulan itu Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman yang mempengerusikan mesyuarat berkata kenyataan Mohamad itu kemungkinan kerana Pakatan Harapan (PH) telah menandatangani persefahaman (MoU) dengan kerajaan.
“YB Kota Raja (pertahankan kerajaan) kerana dah tandatangan MoU agaknya,” kata Azalina.
Anwar kemudian menyambung perbahasan dengan menyatakan MoU tidak menghalang wakil rakyat pembangkang untuk mengkritik kerajaan.
“Tentunya antara sebab membara Kota Raja sebab judi ditambah 22 (cabutan), bagi saya ini membingungkan. Tidak ada suara, sunyi sepi, lidah kelu tidak berkata (daripada pemimpin PAS),” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata kebenaran syarikat nombor ramalan melaksanakan 22 cabutan khas judi sangat membingungkan.
“Ia tindakan yang keterbelakang kerana perkara ini dikurangkan oleh PH sebelum ini. Kerajaan sepatutnya lebih kreatif dalam menjana pendapatan negara,” katanya. – Malaysiapost

