
MISTERI ‘hantu kerusi’ yang dikatakan wujud di Dewan Rakyat akhirnya terungkai.
Apa yang sebenarnya berlaku di sebalik misteri kerusi bergerak sendiri dijelaskan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menerusi siaran langsung di Facebooknya.
Menurutnya, beliau terpaksa melakukan pencerahan susulan dibanjiri pertanyaan oleh netizen berkenaan perkara itu.
Malah katanya, misteri itu turut menarik perhatian rakan-rakannya dari luar negara.
“Nak tahu betulkah ada hantu atau tidak, jadi hari ini saya nak tunjukkan hantu tersebut.
“Hari itu saya berbahas di sini, kemudian kerusi di belakang bergerak. Siapa di belakang saya?,” katanya sambil menunjukkan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew yang duduk di belakangnya di Dewan Rakyat.
Kerusi yang dikatakan bergerak sendiri itu berada antara Ahli Parlimen Sibu dan Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad itu memang dibiarkan kosong kerana mematuhi penjarakan fizikal.
“Sebenarnya yang gerakkan kerusi itu, inilah orangnya, hantu utara, Kangar. Jelaskan bagaimana awak buat YB,” kata Hannah kepada Amin.
Amin yang dilihat ketawa menjelaskan, sebenarnya kerusi yang berada di sebelah kanannya itu tidak bergerak sendiri.
“Saya nampak YB Hannah menerusi tv di Parlimen ketika beliau berucap, saya nampak kerusi di belakangnya berada dalam keadaan tidak kemas.
“Saya rasa macam tak selesa tengok dekat tv tu, saya tak boleh tahan. Jadi saya tengok tidak kemas, saya betulkanlah. Saya hanya tarik (kerusi),” kata Amin sambil menunjukkan kerusi itu bergerak menggunakan tangannya.
Menurut Amin, ketika itu secara tiba-tiba sikapnya ‘trigger’ melihat sesuatu keadaan yang tidak diletakkan dengan kemas.
“Saya minta maaf, saya tak sangka orang ramai akan beri perhatian kepada perkara itu daripada apa yang awak (Hannah) ucapkan,” kata Amin lagi.
Kejadian kerusi ‘bergerak sendiri’ itu mencuri tumpuan netizen di Twitter minggu lalu apabila Hannah menaikkan video ucapannya di Dewan Rakyat.
“Tengok tangannya tarik, jadi kerusi bergerak. Jadi jangan risau tak ada hantu di Parlimen. Ini dia tangan ghaib,” kata Hannah. – Malaysiapost
