“SAYA sama sekali tidak memperoleh sebarang keuntungan peribadi dari apa sahaja keputusan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI),” kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata beliau sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berkenaan isu pemindahan RM13 juta milik MBI, jika dirasakan wujud unsur salah guna kuasa.
“Saya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mahupun salah guna kuasa, jikalaupun ia wujud. Saya amat yakin tiada unsur-unsur tersebut dalam urusniaga MBI ketika saya berjawatan Menteri Besar Kedah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Mukhriz memegang jawatan Menteri Besar.
Muhammad dilaporkan Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan Mukhriz ke akaun di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.
Mengulas mengenainya, Mukhriz berkata beliau yakin kenyataan Sanusi itu bertujuan untuk mencemar nama baik dan imejnya tanpa membuat tuduhan khusus yang boleh mengundang tindakan saman.
“Saya tekankan di sini bahawa sebarang kenyataan daripada Menteri Besar Kedah bukanlah bersifat pendapat atau pandangan peribadi.
“Sebaliknya, Menteri Besar Kedah harus lebih bijak dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dengan usul periksa terlebih dahulu kerana kenyataan beliau membawa imej pentadbiran kerajaan negeri dalam apa jua hal dan keadaan.
“Pihak saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya jika beliau berterusan membuat onar dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya lagi.
Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra berkata kenyataan Muhammad Sanusi berhubung isu itu tidak konsisten, malah bercanggah antara satu dengan yang lain.
Katanya, pada 21 September lalu, Muhammad Sanusi menyebut wang itu dipindah ke Kanada tetapi menafikan pula dalam sidang media pada keesokan harinya.
“Kesilapan atau salah kata begini bukanlah suatu yang asing bagi Menteri Besar Kedah itu. Sebagai sebuah entiti ditubuhkan untuk membawa pelaburan dan keuntungan kepada Kedah, tentu akan wujud aliran keluar masuk dana dari MBI.
“Sebarang keputusan oleh MBI sudah semestinya mengambilkira kepentingan terbaik rakyat negeri untuk jangka masa panjang. Pada keseluruhannya, pelaburan MBI disasarkan untuk industri berkualiti tinggi, berdaya maju dan berpotensi besar untuk mencatat keuntungan.
Berdasarkan dokumen-dokumen ‘ditayangkan’ Menteri Besar sewaktu sidang media secara maya dan disiarkan secara langsung pada 23 September 2021, yang mana sepatutnya diserahkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa bagi tujuan siasatan, ia dipercayai berkaitan pelaburan oleh MBI dalam sebuah syarikat bio-teknologi yang ketika itu terlibat dalam kajian dan pembangunan rawatan kanser.
“Syarikat ini berdaya maju dan ekuitinya pula dimiliki oleh rakyat Malaysia, agensi pelaburan sektor teknologi tinggi Kerajaan Persekutuan, selain turut menarik perhatian pelabur-pelabur dari luar negara,” katanya. – Malaysiapost

