ISLAM melarang umatnya melakukan qaza’ iaitu memiliki potongan rambut bergaris atau bercorak.
Sebaliknya jika berkaitan perubatan seperti berbekam, ia diharuskan bagi lelaki dan juga wanita.
Perkara itu dikongsikan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman webnya.
“Rambut merupakan mahkota setiap insan. Naluri setiap manusia berkeinginan untuk memiliki fesyen rambut tertentu seiring dengan peredaran zaman.
“Namun, sebagai umat Islam kita perlu cakna tentang beberapa larangan dalam memiliki potongan rambut tertentu agar tidak bertentangan dengan syariat Islam.
“Justeru, qaza’ ialah perbuatan seseorang yang memotong atau mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian rambut yang lain bagi tujuan mengikuti fesyen potongan rambut tertentu,” katanya.
Antara contoh potongan rambut termasuklah fesyen yang berbentuk seperti Skin fade, taper fade; flat top; pompadour; 4am fade; upper cut; under cut; crew cut dan mid fade.
Terdapat hadis yang melarang perbuatan qaza seperti yang diriwayatkan oleh Ubaidullah : (Riwayat Al-Bukhari) maksudnya:
“Aku mendengar Rasulullah SAW melarang qaza’.
Ubaidullah berkata, aku berkata, “Apakah qaza’ itu?”
Ubaidullah mengisyaratkan kepada kami dan berkata, “Apabila seorang anak dicukur dan ditinggalkan rambutnya di sini dan di sini serta di sini”.
Ubaidullah mengisyaratkan pada kami kepada ubun-ubun dan kedua sisi kepalanya. Ubaidullah ditanya, “anak perempuan dan anak lelaki?”. Dia berkata “Saya tidak tahu”. Dia mengatakan, “seorang anak”.
Ubaidullah berkata aku pun kembali bertanya, maka dia berkata rambut pelipis dan bahagian tengkuk bagi anak lelaki tidak mengapa. Qaza’ adalah meninggalkan rambut di bahagian ubun-ubun sementara tidak ada rambut di kepalanya. Demikian pula membelah rambut kepalanya begini dan begini”.
Selain itu, terdapat larangan melakukan qaza’ dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang melakukan qaza’. Aku bertanya kepada Nafi’, apakah itu qaza’? Nafi’ menjawab mencukur sebahagian rambut anak kecil dan membiarkan sebahagian yang lain”.
Berdasarkan kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan tentang larangan perbuatan qaza’ dalam Islam iaitu memotong atau mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Sementara itu, Imam al-Nawawi menyatakan dalam penulisannya: Makruh (perbuatan) Qaza’ iaitu mencukur sebahagian kepala sama ada di tempat yang berbeza atau di tempat yang sama berdasarkan hadis (Bukhari dan Muslim) yang disebut larangannya.”
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkata, para ulama telah bersepakat bahawa qaza’ adalah perbuatan yang makruh sekiranya dilakukan pada tempat yang berbeza atau di tempat yang sama.
” Walau bagaimanapun, qaza’ diharuskan untuk tujuan perubatan (berbekam atau seumpamanya) dan hukum ini terpakai ke atas lelaki dan perempuan.
“Umat Islam juga perlu mengetahui bahawa menghindari melakukan qaza’ adalah lebih baik dari melakukannya,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Men Hairstyles Now

