[PARLIMEN] SEJUMLAH 51,123 kes jangkitan Covid-19 direkod membabitkan warga penjara termasuk banduan, kakitangan dan ahli keluarga setakat ini.
Daripada jumlah itu sembilan kes adalah membabitkan bayi yang dilahirkan di dalam penjara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memantau keadaan penularan wabak Covid-19 di penjara dan mengambil langkah sewajarnya termasuk program vaksinasi.
“KDN sentiasa memastikan semua warga penjara menerima suntikan vaksin dan akan buat pemantauan secara berkala serta memastikan tindakan berterusan dilakukan,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung bila banduan akan diberikan vaksinasi.
Terdahulu Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli bertanyakan mengenai langkah KDN menyelesaikan masalah kesesakan penjara ketika ini berikutan penularan Covid-19 yang pantas dalam kalangan banduan.
Menjawab mengenai kesesakan penjara, Ismail berkata statistik Jabatan Penjara Malaysia sehingga 25 Ogos 2021 menunjukkan jumlah keseluruhan banduan di penjara adalah seramai 69,507 orang.
“Jumlah itu melebihi kapasiti sebenar 61,242 orang iaitu pada kadar 13.50 peratus atau melebihi kapasiti 8,265 banduan.
“Jabatan Penjara Malaysia melalui KDN telah mengambil beberapa tindakan bagi mengurangkan kesesakan termasuk langkah mengurangkan penularan wabak Covid-19 di seluruh institusi penjara,” katanya.
Beliau berkata antara langkah diambil ialah pemindahan banduan ke penjara yang tidak sesak dan mewujudkan beberapa penjara sementara.
“Sebanyak 13 bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah diubah suai sebagai penjara satelit untuk penempatan banduan baru bagi tujuan pengasingan sebelum dimasukan ke penjara dan penjara sementara ini telah diwartakan dibawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995.
“Pusat Transit Penerimaan (PTP) di institusi penjara juga diwujudkan bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan,” katanya.
Beliau berkata, selain itu selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara Malaysia iaitu dua pertiga banduan sabitan yang layak akan menjalani pemulihan diluar tembok penjara atau pemulihan dalam komuniti (PDK) melalui pelepasan secara parol, perintah kehadiran wajib, pelepasan awal 14 hari, keistimewaan bagi banduan khas, program berintergrasi dan rumah perantaraan.
“Setiap masa penjara juga memang mewujudkan bilik-bilik khas untuk menempatkan banduan bagi rawatan penyakit berjangkit selain Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

