STATISTIK kemalangan jalan raya membabitkan pemanduan lawan arus dari Januari lalu hingga kini adalah sebanyak 807 kes yang antara faktor utamanya adalah disebabkan memandu dibawah pengaruh alkohol dan dadah.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pihak kementerian sudah menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 mulai Oktober tahun lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, berkata pindaan adalah membabitkan hukuman sedia ada termasuk kadar denda serta tempoh penjara khususnya bagi kesalahan pemanduan dibawah pengaruh alkohol dan dadah.
“Pindaan hukuman ini adalah satu bentuk pengajaran atau bagi memupuk kesedaran dalam kalangan orang ramai supaya mematuhi undang-undang untuk memastikan jalan raya kekal selamat.
“Selain daripada itu nilai ambang melibatkan had kepekatan alkohol di dalam darah yang dibenarkan juga telah dipinda,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh di Dewan yang meminta menyatakan secara terperinci data dan statistik kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus dari Januari 2021 sehingga setakat ini.
Ka Siong juga diminta menjelaskan faktor penyumbang terhadap kesalahan dan kemalangan yang berlaku itu serta langkah-langkah yang diambil untuk membendungnya.
Menurutnya, selain daripada pindaan APJ 1987, langkah-langkah berterusan lain juga telah dilaksanakan bukan sahaja oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) tetapi juga oleh pihak berkuasa dan pemegang taruh yang lain.
“Seperti contoh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menjalankan banyak penguatkuasaan untuk membendung faktor manusia dalam sesuatu nahas serta bertujuan meningkatkan persepsi untuk ditangkap.
“Aspek pembelajaran dan ujian bagi mendapatkan lesen memandu sentiasa diteliti dan dinilai ke arah memastikan kompetensi pemandu berada pada tahap yang tertinggi,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan berhubung jumlah kematian akibat pemanduan dibawah pengaruh alkohol dan dadah pula, beliau memaklumkan daripada jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh Januari hingga Julai lalu adalah sebanyak 2,560 kes.
Menurutnya, daripada jumlah itu 11 kes kematian adalah disebabkan pemanduan dibawah pengaruh alkohol dan dadah.
“Walaupun jumlah kematian disebabkan faktor sama pada tahun lalu lebih tinggi iaitu 28 kes, tetapi kita memandang serius isu ini dan kajian mengenainya sedang dijalankan.
“Setakat ini bagi kes membabitkan pemanduan dibawah pengaruh alkohol dan dadah pesalah diwajibkan dihukum hukuman penjara, bukan hanya denda sahaja,” katanya. – Malaysiapost

