Shahrir gesa kerajaan perbetul tiga kesilapan PH di Johor

0
2

KERAJAAN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap memperbetulkan tiga perkara merugikan negara khususnya Johor yang dilakukan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad berkata beliau membangkitkan tiga kerugian itu dalam pertemuan Perdana Menteri dengan Badan Perhubungan Umno Johor, Sabtu lalu.

Menurutnya pertama pembesaran Lebuhraya Utara Selatan dari empat menjadi enam lorong dari Ayer Hitam, Kluang ke Johor Bahru bagi mengurangkan kesesakan yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya umum lalu.

Namun jelasnya pengundi lebih tertarik janji PH membatalkan tol daripada menikmati penambahbaikan secara berkala.

“Apa yang percuma itu lebih menarik dan ini termasuklah janji-janji ditabur dan bukan untuk dikotakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kedua adalah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan dua kota raya, Kuala Lumpur dan Singapura.

“Projek ini adalah suatu ‘gamechanger’ bukan hanya ia memudahkan perjalanan diantara dua kota raya tapi memantapkan lagi sektor pengangkutan rel dan teknologi rel letrik negara.

“HSR akhirnya dibatalkan pelaksanaannya dengan pembayaran gantirugi beratus juta kepada kerajaan Singapura,” katanya.

Ketiga katanya, keputusan PH menarik balik permohonan semakan pada Mei 2018 mengenai Pulau Batu Puteh yang menyebabkan negara hilang kedaulatan terhadapnya untuk selama-lamanya.

“Kerajaan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri kena mengambil tindakan sewajarnya mengapa PH sanggup mengorbankan Batu Puteh.

“Sambil itu juga, ‘Middle Rock’ yang masih milik Malaysia harus dimanfaatkan sepenuhnya kedudukan strategiknya ditengah-tengah laluan perkapalan utama rantau ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here