Tolak vaksin: Bekas tentera bawa kes pemecatan ke mahkamah

0
1

ANGGOTA tentera yang dipecat selepas ingkar arahan mengambil vaksin Covid-19 pada bulan lalu memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas tentera berpangkat sarjan itu membuat permohonan bagi membatalkan keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) memberhentikannya selepas hampir 20 tahun berkhidmat.

Wan Ramli Wan Seman, 39, memfailkan permohonan itu terhadap Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima TDM Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, TDM dan kerajaan sebagai responden.

Memetik laporan Harian Metro, permohonan itu dibuat menerusi Tetuan Suzana Norlihan & Co dan selaku pemohon, Wan Ramli turut memohon satu deklarasi bahawa surat pemberhentian bertarikh 4 Ogos lalu adalah tidak sah dan tiada kesan.

Menerusi afidavit sokongannya, Wan Ramli memaklumkan sudah berkhidmat selama 19 tahun tanpa sebarang rekod disiplin.

Katanya, tarikh penamatan perkhidmatan asal adalah pada 2 Januari 2023, bagaimanapun beliau dipecat secara tidak terhormat pada 26 Ogos lalu mengikut empat seksyen Akta Angkatan Tentera 1972.

Wan Ramli berkata, akibat pemberhentian itu, hak pencennya dinafikan mengikut Artikel 147 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau turut memohon kos dan relif difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Ogos lalu, TDM mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

TDM dalam kenyataan itu berkata, ia susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib.

Wan Ramli dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here