TERMA dan syarat siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit berkaitan pengurusan dan aset Lembaga Tabung Haji (TH) akan diputuskan Kabinet dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan meneruskan RCI berkenaan yang diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini.
Beliau memaklumkan, Ahli Jawatankuasa yang bakal menganggotai RCI itu juga sudah dikenal pasti.
“Untuk kali ini Kabinet akan memutuskan juga soal terma dan syarat RCI TH, tetapi tidak lari dari tempoh RCI itu yang bermula 2014 sehingga 2020 seperti diputuskan sebelum ini.
“Semua transaksi dan apa jua bentuk urusan TH perlu kepada penyiasatan kerana berbangkit di luar sama ada melalui Parlimen atau penulisan dan menimbulkan keresahan yang akan dirungkai melalui RCI itu,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Qaseh Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di perumahan nelayan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan hari ini.
Ahmad Marzuk, mengulas mengenai perkembangan RCI TH yang ditubuhkan pada Julai lalu sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Kerajaan sebelum ini bersetuju menubuhkan RCI terbabit mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai TH.
Pembentukan RCI itu adalah supaya siasatan lanjut perkara yang dibangkitkan membabitkan aset, pengurusan dan perkara yang menjadi pertikaian, bertujuan mengembalikan keyakinan pendeposit terhadap institusi berkenaan. – Malaysiapost

