Wujudkan peluang pekerjaan, skim pencen sosial untuk rakyat – Shahril

0
2
Shahril Hamdan

SIMPANAN rakyat kini dilaporkan ditahap kritikal dengan data terkini dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan 46 peratus mempunyai simpanan kurang RM10,000 dan 40 peratus hanya mempunyai RM1,000 simpanan.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, keadaan itu sudah berlaku walaupun sebelum program pengeluaran simpanan KWSP seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dilaksanakan akibat Covid-19.

Beliau berpendapat, keadaan itu perlu ditangani segera sama ada untuk jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang.

“Cabaran jangka pendek ialah untuk memulihkan kedudukan kewangan rakyat kebanyakan, bukan hanya B40, tetapi lebih ramai sebenarnya dan cabaran jangka panjang menangani isu tahap simpanan rakyat.

“Kedua-duanya perlu intervensi yang mapan iaitu penyelesaian yang mampu berterusan bagi mengganti sebarang penyelesaian sementara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi cabaran jangka pendek iaitu kewangan rakyat untuk hari ini, tiada pengganti lebih baik daripada penyelesaian peluang pekerjaan.

“Selagi pasaran pekerjaan hambar dan pengangguran berlegar pada 700,000 hingga sejuta, selagi itu kita terperangkap dengan masalah ini.

“Sama ada skim Job Bank atau apa sahaja usaha lain, saya berpandangan jawapannya ialah ‘jobs, jobs, jobs’. Bila rakyat mampu kembali meraih pendapatan bulanan, barulah kita benar-benar sudah atas jalan pemulihan,” katanya.

Shahril berkata, pelaksanaan moratorium, i-Citra serta Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sekalipun tidak akan cukup atau mampu menyelamatkan keadaan untuk tempoh lama lagi.

Menurutnya, masalah jangka panjang pula memerlukan tindakan berani dari kerajaan untuk lebih menjamin kedudukan kewangan untuk hari esok dan beliau mencadangkan agar skim pencen sosial diperkenalkan.

“Melalui skim ini, selain caruman KWSP (yang sudah semakin mengecil dan tidak meliputi segenap segmen pekerja), pesara di bawah sesuatu tahap pendapatan diberi kewangan bulanan.

“Saya tidak menolak kebarangkalian rasionalisasi program subsidi kerajaan, di samping perubahan rejim percukaian perlu dipertimbangkan bagi memudahkan ‘tax-funded social pension scheme’ ini berlaku,” katanya.

Menurutnya, mungkin ada juga pilihan untuk kerajaan selepas ini menyumbang kepada caruman selain caruman dari pekerja dan majikan yang mungkin tidak dengan nisbah 1:1 dan tidak untuk selamanya.

“Apa sahaja gabungan pilihan yang diambil (saya guna istilah gabungan kerana ‘one size does not fit all’), semoga idea ini dan sebarang idea lain dapat dikaji lebih mendalam oleh kerajaan dengan analisa dan data yang ada.

“Perubahan pendekatan ini sesuai dengan matlamat peralihan ke fasa endemik sekaligus membantu jutaan rakyat Malaysia yang telah melihat pendapatan dan simpanan mereka menguncup dengan begitu mendadak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here