MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminum air Sungai Ichat di Cameron Highlands kelmarin, demi membuktikan sumber air itu bersih sepenuhnya selepas penutupan aktiviti pertanian secara haram.
Sumber air Sungai Ichat digunakan oleh Loji Rawatan Air Kuala Terla milik Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk rawatan sebelum digunakan masyarakat setempat.
Wan Rosdy berkata, beliau amat berpuas hati dengan tahap kebersihan air Sungai Ichat selain ujian kandungan bahan terlarang dilakukan PAIP mendapati ia pada tahap paling rendah dan sesuai dijadikan sumber minuman.
“Tindakan saya minum air Sungai Ichat sebagai bukti ia benar-benar bersih dan bebas daripada bahan terlarang berbanding yang pernah berlaku sebelum ini.
“Kalau air sungai berkenaan mengandungi bahan terlarang tinggi, tidak mungkin saya sanggup minum air di situ yang belum diproses.
“Air sungai berkenaan juga jernih dan tidak lagi berbau, keputusan tegas kerajaan menutup semua aktiviti pertanian di kawasan terbabit memberi kesan terbaik kepada sumber air,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Sungai Ichat dan Sungai Terla, di Cameron Highlands.
Wan Rosdy berkata, selepas dua siri tindakan penguatkuasaan terhadap projek pertanian di kawasan tadahan air Kuala Terla di Sungai Ichat, langkah susulan ialah menanam semula pokok secara berterusan oleh JPNP bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang pada 13 Mac tahun lalu telah meluluskan pewartaan kawasan seluas 121.12 hektar sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat bagi memastikan apa juga aktiviti tidak boleh dilakukan di situ. – Malaysiapost

