PRN Sabah: Musa Aman sah tak tanding

0
1

BEKAS Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sah tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila kelibatnya tidak kelihatan di pusat penamaan calon di Dewan Sri Libaran di Sandakan hari ini.

Sebelum ini, timbul ura-ura Musa yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga akan bertanding di kerusi DUN Sungai Manila.

Ia diperkuatkan lagi apabila Musa menerusi laman Facebook memberi bayangan seolah-olah akan bertanding di kerusi baharu itu.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini Musa tidak tersenarai sebagai calon selepas tidak mengemukakan permohonan kepada pihaknya.

Pada PRN ini, ketiga-tiga kerusi DUN iaitu Gum-Gum, Sungai Sibuga dan Sungai Manila masing-masing menyaksikan pertembungan antara lima hingga enam calon.

Bagi kerusi Gum-Gum, penyandang kerusi dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Arunarnsin Taib dicabar Suhaimi Nasir dari Barisan Nasional (BN), Undang Tumpong dari Parti Cinta Sabah (PCS), Zainudin Berahim dari Parti Liberal Demokratik (LDP), Riduan Sampai dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon Bebas, Yunos Nordin.

DUN Sungai Manila pula, calon Warisan Prof Dr Mahmud Sudin bakal berentap dengan lima lagi calon iaitu Mokran Ingkat (BN), Sahidzan Ag Salleh (PCS), K Zulkipli @ K Zulkipli Harrith dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Dr Md Anuar M A Yusuf (LDP) dan Muhd Arshad Abdul (PPRS).

Sementara itu, kerusi DUN Sungai Sibuga, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Armani Mahiruddin dari Warisan dicabar Mohamad Hamsan Awang Supain (BN), Irwanshah Mustapa (PCS), Kemellia Hasan (LDP) dan Mohd Jain Aliuddin (PPRS).