PRN Sabah: Anak saudara lawan Hajiji di Sulaman

0
1

CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Hajiji Noor, ditentang anak saudaranya Datuk Aliasgar Basir mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.

Kerusi DUN Sulaman bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Seorang lagi calon ialah dari Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Rekan Hussein.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah adalah penyandang kerusi DUN Sulaman selama enam penggal sejak 1990.

Beliau mengemukakan pencalonan pada jam 9.10 pagi, manakala Aliasgar dan Rekan masing-masing pada jam 9.12 pagi dan 9.05 pagi di pusat penamaan calon Dewan Seri Sulaman, Tuaran.

Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Sulaman, Sofian Alfian Nair, mengumumkan ketiga-tiga calon layak bertanding pada jam 10.50 pagi.

Ketika ditemui pemberita, Hajiji berkata beliau akan meneruskan usahanya untuk membangunkan kawasan itu dan Tuaran keseluruhannya.

“Walaupun sudah lama saya di sini tetapi banyak lagi yang saya mahu lakukan untuk membantu rakyat. Kita akan berusaha untuk memastikan bahawa sekiranya kita mengambil alih kerajaan, kita akan tumpu perkara yang diperlukan rakyat terutama di luar bandar,” katanya.

Sementara itu Aliasgar menyifatkan pertembungan dengan Hajiji tidak menjadi masalah kepadanya walaupun mereka ada hubungan keluarga.

Katanya ia adalah perkara biasa dalam politik dan yakin WARISAN tetap menjadi pilihan rakyat Sabah termasuk di Sulaman pada pilihan raya kali ini.

“Saya cukup yakin WARISAN dapat menawan Sulaman. Hubungan keluarga saya dengan Hajiji bukan halangan untuk saya dan penyokong WARISAN mencipta kemenangan di sini,” katanya.-Malaysiapost