Kecewa, sedih tapi hormat keputusan – Tuan Ibrahim Tuan Man

0
1

AHLI-ahli Pas dinasihatkan agar tidak kecewa dan sedih kerana tidak diberikan kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan yang telah dibuat oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dihormati.

Tuan Ibrahim berkata, beliau bertemu dengan pimpinan untuk mendapat penjelasan berkenaan ahli PAS tidak disenaraikan sebagai calon di PRN Sabah.

“Kenapa Pas tidak bertanding di Sabah.. Saya turun ke Sabah semalam bertemu dengan pimpinan, memahami kekecewaan, kesedihan tetapi kita melihat kepada agenda yang besar.

“Presiden mengeluarkan satu kenyataan.. Alhamdulillah seluruh jentera termasuk seluruh pimpinan, petugas di Sabah akur keputusan tersebut kerana melihat kepada agenda itu,” katanya.

Beliau berkata, jangan terpengaruh dengan kata-kata atau propaganda dari pihak lawan agar Perikatan Nasional terus kuat dan maju ke hadapan.

“Jangan kita terperangkap dengan musuh (propaganda)… akhirnya bertanding, berpecah dan mereka mencapai kemenangan.

“Kita berjaya mengelak perangkap musuh, presiden menyatakan bahawa kita membuat keputusan demi mengelak perpecahan yang menyebabkan kita hilang peluang mencapai kemenangan.

Mengulas lanjut, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, Pas perlu hormat kepada keputusan untuk menjamin keeratan hubungan.

“Kekadang kita terpaksa tunduk dengan keputusan.. pernah berlaku ketika Pas bersama Pakatan Rakyat, kita mengagih kerusi yang ada dan salah satu kerusi itu dituntut oleh PKR.

“Pada asasnya, kerusi itu berada di Kelantan, parti buat keputusan tidak menyerahkan kerusi berkenaan, kerana kerusi di Kelantan, kerusi yang kita pasti menang.

“Rakan kita sewaktu itu, PKR tak kisah cuma mereka nak jumlah yang cukup…akhir kita tukar DUN Kelantan pergi ke Pahang dan DUN Pahang pergi ke Kelantan, akibatnya ADUN tidak berpuas hati keluar parti,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, disebabkan pengalaman itu, Pas belajar dari kesilapan.

“Kita dengar dan kita patuh dengan keputusan yang strategik yang dibuat oleh presiden,” katanya. -MalaysiaPost