Usahawan guna rangkaian persatuan cipta peluang baharu – DPIA

0
2

DEWAN Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) merupakan platform bagi usahawan meneraju perniagaan sama ada antara ahli, atau dengan kerajaan dan pihak swasta.

Presidennya, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata ahli yang berdaftar boleh menggunakan rangkaian DPIA untuk mendapatkan peluang baharu dan mengembangkan lagi perniagaan.

Katanya, usahawan perlu mencipta peluang dan ruang mereka sendiri dalam rangkaian yang disediakan oleh DPIA untuk kebaikan bersama.

“Kita (DPIA) tidak boleh memberi projek atau peluang kepada anda sehingga anda sendiri yang mencipta peluang-peluang itu.

“Dalam masa sama menjadikan ‘networking’ dalam DPIA ini sebagai pusat percambahan idea, pandangan dan juga peluang,” katanya dalam ucapan aluan Mesyuarat Dwi Tahunan DPIA kali ke-2 secara dalam talian, hari ini.

Dalam masa sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menerusi ucapan penutup berkata, amat mengalu-alukan penubuhan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dapat membantu kerajaan mampu melahirkan ‘bangsa usahawan’.

Beliau berkata, kerajaan juga mempunyai dasar pembangunan usahawan negara bagi menjaga dan meningkatkan mutu penggiat sektor perniagaan.

“Niat dan hasrat saya untuk berjumpa dengan persatuan untuk kita bertukar-tukar fikiran bagaimana mahu bangunkan usahawan di negara kita.

“Mungkin pada masa hadapan generasi akan datang tidak banyak memilih untuk ‘makan gaji’ dan berminat untuk jadi usahawan oleh itu untuk mencapai hasrat itu kita kena ada perancangan.

“Saya maklum DPIA juga ada banyak perancangan bersama ahli, jadi kita boleh bekerjasama sebagai ‘Keluarga Malaysia’ supaya dapat membantu usahawan-usahawan negara,” katanya.

Sementara itu, DPIA juga mengumumkan keputusan undian yang dibuat dalam mesyuarat tersebut iaitu jawatan Presiden kekal disandang Sohaimi, manakala Timbalan 1 digalas Datuk Malik Abdullah; dan Timbalan 2 adalah Datuk Lokman Hakim Pfordten. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here