Malaysia dijangka hasil vaksin Covid-19 tiga tahun lagi

0
2

MALAYSIA dijangka mengeluarkan vaksin Covid-19 pertama negara dalam tempoh seawal tiga tahun lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata usaha itu sudah bermula dan MOSTI menggunakan teknologi ‘messenger ribonucleic acid’ (mRNA) yang dibangunkan dengan kerjasama tenaga pakar dalam dan luar negara.

Beliau berkata, selain membangunkan vaksin sendiri, MOSTI juga berkeupayaan untuk membangunkan Pusat Vaksin Kebangsaan (NVC).

“Kini usaha mengumpulkan data masih dilakukan dan pengeluaran vaksin menjadi keutamaan kita selepas tidak pernah menjangkakan wabak Covid-19 begitu pantas merebak sehingga menjadi pandemik.

“Bagaimanapun, kita harus memahami bahawa untuk mengeluarkan sesuatu vaksin memerlukan masa dan kita menggunakan pelbagai kaedah terkini bagi membangunkan vaksin Covid-19 ini.

“Ketika ini saintis kita sedang bekerja keras di Institut Kajian Perubatan (IMR) dan ia masih di peringkat pembinaan pengklonan genetik.

“Jangkaan kita vaksin dapat dihasilkan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Ruang Reka (Hab Reka Cipta, Teknologi dan Inovasi) di Taman Rasa Sayang, Paroi, Negeri Sembilan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak hanya memberikan tumpuan kepada penghasilan vaksin Covid-19 semata-mata tetapi juga akan membangunkan vaksin lain.

“Kita tidak tahu apa jenis wabak yang datang pada masa hadapan dan adalah penting untuk kita buat persiapan dari segi fasiliti bagi mengeluarkan sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, kementerian sentiasa bekerjasama dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu badan yang menetapkan kriteria yang perlu ada bagi sesuatu pengeluaran vaksin.

Menurutnya, kerjasama itu membantu pihaknya untuk merancang keperluan yang ada bagi mengeluarkan sesuatu vaksin.

“Namun begitu, vaksin Covid-19 yang digunakan ketika ini adalah berkualiti, selamat dan berkesan serta mendapat kelulusan NPRA.

“Perlu ditegaskan bahawa usaha membangunkan vaksin juga selaras dengan keperluan dan kelulusan NPRA dan apa yang sedang kita lakukan adalah menggunakan teknologi termaju,” katanya.

Sebelum ini, Dr Adham yang ketika itu menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa Malaysia sedang membangunkan vaksin sendiri yang pertama bagi melawan pandemik Covid-19, melalui kerjasama IMR dan Universiti Putra Malaysia (UPM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here