Agong, Permaisuri lawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London

0
2

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan melawat melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London semalam.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 4.30 petang (waktu tempatan) disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Tuan Yang Terutama Zakri Jaafar dan isteri, Nor Aini binti Abd Rahman serta para kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Menurut kenyataan Facebook Istana Negara hari ini, dalam lawatan selama dua jam berkenaan Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan menerima persembahan taklimat daripada Tuan Yang Terutama Zakri Jaafar.

“Menzahirkan keperibadian tinggi Baginda berdua, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan komuniti rakyat Malaysia di London di Majlis Santapan Teh Diraja.

“Lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan sesi bersama rakyat Malaysia di London semalam adalah antara atur cara Lawatan Khas Seri Paduka Baginda berdua ke United Kingdom selama 10 hari bermula pada 17 September, 2021,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford hari ini.

Manakala, Raja Permaisuri Agong dijadualkan berangkat melawat Victoria and Albert Museum di London.

“Dalam Lawatan Khas ini, Yang di-Pertuan Agong turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst. Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

“Seri Paduka Baginda turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.

“Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst,” kata kenyataan itu.

Usai Lawatan Khas ini, Seri Paduka Baginda berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 September, 2021.

“Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober, 2021,” katanya.

Lawatan Khas ini merupakan kali kedua bagi Seri Paduka Baginda ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Lawatan khas yang pertama telah diadakan pada bulan Disember 2019, selama tujuh hari bermula pada 9 Disember, 2019. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here