SELEPAS memuat naik video lafaz sumpah laknat lelaki yang mengaku abang kepada seorang mangsa pendakwah terkenal semalam, Firdaus Wong Wai Hung hari ini tampil dengan satu lagi video baharu yang sama.
Menerusi saluran Telegramnya hari ini, Firdaus kali ini memuatnaik satu lagi video lafaz sumpah laknat membabitkan seorang wanita yang mengaku ibu kepada seorang mangsa pendakwah terkenal berkenaan.
Menurut Firdaus, ibu mangsa mengizinkannya untuk berkongsikan video mubahalah (sumpah laknat) berkenaan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.
Dalam video berdurasi 48 saat berkenaan, wanita itu mendakwa anaknya mengalami kemurungan selepas pendakwah berkenaan melakukan perbuatan terkutuk terhadap anaknya melalui WhatsApp dan ‘video call’.
“Bismillahirrahmanirrahim. Wallahi, wabillahi, watallahi. Saya (tidak didedahkan nama) bersumpah dengan nama Allah bahawa anak saya (tidak dedahkan nama) mengalami kemurungan selepas (nama pendakwah berkenaan) melakukan perbuatan terkutuk melalui WhatsApp dan ‘video call’ terhadap anak saya, jika saya berdusta Ya Allah laknatilah saya,” lafaz wanita itu.
Dalam pada itu, Firdaus berkata, buat masa ini, pihaknya terpaksa merahsiakan nama dan wajah mereka sehingga tiba masa yang sesuai.
“Mereka mengizinkan kerana mereka mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat yang perkara itu memang berlaku.
“(Selain) mahu mengalakkan lebih ramai mangsa dan ahli keluarga mereka untuk menyokong ahli keluarga mereka yang mungkin pernah menjadi mangsa gangguan seksual agar berani tampil membuat laporan polis,” katanya.
Firdaus berkata, mereka adalah keluarga contoh yang menyokong jihad ahli keluarga mereka yang menerima mesej terkutuk berkenaan.
“Semoga Allah bantu mereka yang membantu menegakkan kebenaran,” katanya.
Semalam, Firdaus menerusi saluran Telegram, memuat naik satu video memaparkan lafaz sumpah laknat oleh seorang lelaki yang mengaku abang kepada seorang daripada mangsa pendakwah terkenal terbabit.
Dalam lafaz itu, lelaki itu bersumpah bahawa adiknya mengalami kemurungan sehingga cuba membunuh diri kerana tertekan dengan perbuatan pendakwah itu.
Sementara itu, dalam hantaran terbaharunya, Firdaus menjelaskan beliau menyayangi pendakwah berkenaan serta semua sahabatnya sebagai saudara seagama walaupun tidak pernah bersua.
Namun, Firdaus berkata, beliau juga sayangkan prinsip keadilan dan kebenaran dalam Islam.
“Lantaran itu, saya menulis status ini (screenshot) pada 2019 berdasarkan apa yang saya kenali beliau menerusi medsos (media sosial) seperti anda.
“Sebagaimana saya mendoakan agar Allah merahmati beliau pada 2019, saya kekal mendoakan Allah merahmati beliau dan mengampunkan dosa-dosa kita semua,” katanya. – Malaysiapost

