‘LHDN jadi senjata politik untuk kenakan saya’ – Najib

0
1

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh dijadikan ‘senjata politik’ untuk pihak tertentu mengenakan sesiapa pun dengan taksiran cukai tak masuk akal, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian merujuk kepada kes pembayaran penalti cukai sebanyak RM1.7 bilion yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menafikan dakwaan bahawa beliau tidak mahu menyelesaikan isu penalti cukai berkenaan, sebaliknya mendakwa sudah cuba bekali-kali melangsaikannya di mahkamah.

“Isunya ialah jika taksiran cukai itu patut dan sah atau telah sengaja disalahkira dan dipalsukan.

“Namun setiap kali di mahkamah, hakim mereka tidak ada kuasa bawah undang-undang untuk mempertikaikan pengiraan taksiran LHDN dan cara terbaik ialah untuk kes cukai saya melalui proses rayuan di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan yang akan meneliti dan mengesahkan pengiraan taksiran cukai.

“Jadi, saya tidak dibenarkan peluang untuk mempertikaikan pengiraan dan keabsahan taksiran penalti saya di mahkamah dan juga di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

“Cuma diarahkan untuk bayar RM1.7b dulu dan rayu kemudian. Jika tak bayar, maka mereka boleh bankrapkan saya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Najib berkata, LHDN boleh dijadikan senjata politik untuk mengenakan sesiapa pun dengan taksiran cukai tidak masuk akal termasuk menyalahgunakan undang-undang cukai dengan tidak membenarkan mahkamah mempertikaikan pengiraan taksiran.

“(Selain) tidak membenarkan kes penalti cukai saya dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

“Sebab itu, biarlah polis siasat pihak mana yang arahkan taksiran cukai saya dipalsukan dengan niat nak bankrapkan saya untuk putuskan riwayat politik saya.

“Polis tak akan buka fail dan tak nyatakan ada unsur pemalsuan dokumen tanpa sebarang bukti atau penyalur maklumat dari pihak dalaman LHDN,” katanya.

Pada 9 September lalu, media melaporkan, Mahkamah Rayuan menolak permohonan rayuan Najib dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.

Hakim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here