PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung menafikan dakwaan bahawa beliau sengaja menyebarkan aib dengan membuat beberapa pendedahan maklumat berhubung kontroversi gangguan seksual berkaitan seorang pendakwah terkenal.
Menurutnya, orang ramai perlu memahami perbezaan antara aib dan perbuatan jenayah.
“Masyarakat kita sudah terbalik. Yang sepatutnya aib dan tidak boleh disebarkan mereka pergi sebarkan. Yang bukannya berbentuk aib tetapi jenayah pula minta jangan dikongsikan.
“Saya tidak akan berdebat atau refute sesiapapun melainkan mereka tahu A-Z. Yup tahu A-Z. Dari awal sehingga akhir,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Firdaus berkata, sebelum ini pihaknya menerima pelbagai kes tetapi majoritinya tidak didedahkan kerana itu adalah aib peribadi kedua-dua belah pihak.
Katanya, beliau pernah menerima kes gangguan seksual yang perlu dikendalikan serentak namun ianya lebih mudah kerana tidak melibatkan orang berpengaruh.
“Kami membantu mangsa-mangsa dan ahli keluarga ini membuat laporan polis, mendapatkan sokongan psikologi untuk keluar dari trauma dan memberikan khidmat guaman percuma bagi yang tidak mampu. Majoriti kos ditanggung kami.
“Bagi anda yang tidak faham kerana enggan faham dan malas untuk faham serta anda yang tidak faham dari A-Z tetapi tetap nak ulas dan sebagainya, maka saya doakan agar Allah bukakan hati anda serta kurniakan kesedaran buat anda,” ujarnya.
Semalam, Firdaus tampil ini membuat pendedahan dengan berkongsi maklumat didakwa bukti berkaitan kontroversi gangguan seksual membabitkan seorang pendakwah dermawan.
Menerusi saluran Telegram, Firdaus memuat naik satu video memaparkan lafaz sumpah laknat oleh seorang lelaki yang mengaku abang kepada seorang daripada mangsa pendakwah terkenal terbabit.
Sebelum ini juga Firdaus mendedahkan rakaman suara dan tangkap layar perbualan lucah yang dikatakan milik pendakwah tersebut.- Malaysiapost

