‘Aiman Kecek Kelate’ rindu Malaysia, nok make nasi kerabu

0
2
Aiman Kecek Klate

Nurul Huda Abhar

‘SAYA tak sabar nak tunggu pintu masuk Malaysia dibuka,” kata selebriti media sosial, Aiman Nasir atau lebih dikenali sebagai Aiman Kecek Klate.

Jejaka kacukan Melayu-Inggeris berusia 23 tahun yang fasih bertutur dialek Kelantan itu tidak dapat menyembunyikan kerinduan kepada tempat kelahiran bapanya di Kampung Pak Badol di Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Aiman, biarpun kini berada di Bristol, United Kingdom (UK) tetapi suasana kampung di Kelantan tetap menjadi ingatan walaupun sudah hampir dua tahun tidak dapat pulang ke Malaysia.

Aiman bersama bapa dan ibu tirinya ketika di Kelantan

“Yang paling saya ingat adalah suasana di kampung, dan orang-orang kampung sangat mesra. Di Kelantan ramai saudara-mara sebelah ayah.

“Sangat berbeza dengan keadaan di sini (UK). Di sini orang hanya buat hal masing-masing dan hubungan tidaklah seperti satu keluarga. Lain pula situasi di Malaysia, orang-orang di sana cepat mesra dan baik,” katanya dalam temubual bersama Malaysiapost, baru-baru ini.

Aktiviti bersama rakan-rakan semasa di Pulau Perhentian

Temubual itu dilangsungkan secara dalam talian menggunakan dialek Kelantan.

Berkongsi bagaimana boleh bertutur dalam dialek Kelantan, Aiman berkata dia pernah tinggal di Malaysia selama empat tahun dan sejak kecil sering berulang alik UK-Malaysia mengikut bapanya.

Apa yang lebih istimewa adalah Aiman hanya boleh bertutur dalam dialek ‘Klate’ sahaja dan tidak berapa fasih dan faham jika berbual dalam Bahasa Melayu baku.

Aiman bersama sepupu ketika di Kampung Pak Badol, Kelantan

Ini kerana, menurut Aiman dia belajar bercakap dalam dialek Kelantan dengan rakan-rakan dan saudara mara di Kelantan, bukan melalui kelas bahasa khusus.

“Kalau orang berbual bahasa Melayu biasa saya tidak berapa faham kerana selama ini memang hanya ‘kecek’ klate. Tapi saya sedang belajar juga untuk fahami Bahasa Melayu.

“Kalau ada yang tanya soalan pada saya dalam Bahasa Melayu saya akan beri tahu awal-awal saya tidak faham. Saya rasa itu bukan jadi satu masalah, malah saya mengaku tidak berapa faham lagi dengan Bahasa Melayu,” katanya.

Aiman yang kini berkerja sebagai jurutera mekanikal di UK memberitahu akan pulang ke Malaysia awal tahun 2022 bersama bapa dan adik lelakinya.

Bercakap mengenai menu kegemaran di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Aiman mengakui sangat menggemari nasi kerabu, nasi dagang dan aneka jenis kuih tradisional negeri tersebut.

Menjamu selera bersama ahli keluarga di Kelantan

Tambahnya, makan nasi bersama budu dan sambal belacan juga sudah menjadi kebiasaannya sewaktu berada di Kelantan.

“Saya kalau bercerita tentang makanan mestilah teringat menu-menu terkenal di Kelantan. Nasib baik di sini ada orang berasal dari Kelantan bekerja sebagai cef. Jadi saya beli nasi kerabu, nasi dagang daripada dia. Dia juga beri budu pada saya,” ujarnya.

https://youtu.be/HGleASHAjss

Mengenai chanel YouTube Aiman Kecek Kelate yang kini mencecah 84,000 pengikut, Aiman berkata tujuannya menghasilkan kandungan video itu adalah untuk melepaskan rindu kepada kampung di Kelantan, dan dalam masa sama mahu membawa rakan-rakan di Malaysia mengikuti aktiviti hariannya di UK.

“Terima kasih kepada rakan-rakan di Malaysia yang beri sokongan, dan betulkan ayat-ayat saya di YouTube Chanel. Saya hargai dan sangat berbesar hati kerana sudi menonton video-video saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here