4 individu dilarang masuk Langkawi kerana positif Covid-19

0
1

SEPASANG suami isteri adalah antara empat individu tidak dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah semalam, selepas dikesan positif Covid-19.

Suami isteri itu berusia 30 tahun, manakala dua lagi individu iaitu lelaki, 26 tahun dan seorang wanita berumur 40-an itu menyertai gelembung pelancongan ke pulau berkenaan berada di terminal tersebut pada 1.30 petang, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata keempat-empatnya dikesan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan kendiri dan mereka diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mereka bukan dari kumpulan sama. Kita ada berhubung dengan pihak hospital untuk mengetahui sama ada mereka ini ada bersama rakan atau ahli keluarga mereka datang ke Langkawi.

“Jika ada kontak rapat, kita akan kesan mereka yang terbabit untuk melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, semua pelancong yang mahu menikmati kemudahan gelembung pelancongan menerusi Projek Rintis Langkawi bermula esok, diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Khairy berkata, ujian pengesanan COVID-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen, perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Katanya, keputusan ujian itu perlu dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk, sama ada lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here