Perhimpunan Dataran Merdeka: 68 Ahli Parlimen mohon pengurangan kompaun

0
2

SERAMAI 68 Ahli Parlimen yang terlibat dalam perhimpunan di Dataran Merdeka Ogos lalu, memohon pengurangan bayaran kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya bersetuju menawarkan pengurangan dan semua Ahli Parlimen berkenaan sudah menjelaskan kompaun masing-masing.

“Seperti orang lain, mereka (Ahli Parlimen) yang langgar SOP dikenakan kompaun dan mereka minta diberikan diskaun.

“Kita bersetuju untuk beri diskaun kepada mereka,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sebelum ini, media melaporkan, seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal memasuki bangunan Parlimen.

Selepas berkumpul di Dataran Merdeka, sekumpulan Ahli Parlimen terbabit antaranya daripada parti Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dihalang menuju ke Parlimen melalui Jalan Parlimen dari Bulatan Dato Onn oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Susulan perhimpunan itu, polis memanggil semua Ahli Parlimen terbabit untuk diambil keterangan.

Ia bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here