Lupa check out MySejahtera, KJ tidur di pasar raya

0
1

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan penambahbaikan akan dilakukan ke atas ciri ‘check-out’ di aplikasi MySejahtera bagi memastikan penggunaannya dapat dimantapkan.

Khairy berkata, beliau menyedari kritikan orang ramai terhadap ciri baharu itu, justeru pihaknya akan memperbaiki kelemahan tersebut demi kemudahan semua.

“Saya tahu ramai yang memberi komen tentang check-out ini. Saya sendiri telah tidur di pasar raya sebab lupa nak check-out.

“Kita akan melihat apakah kaedah terbaik untuk memastikan ciri check out ini dapat diguna dengan sempurna,” katanya ketika sidang media khas, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui agak sukar untuk mengadaptasikan ciri ‘check-out’ tersebut selepas meninggalkan sesebuah premis.

“Dari segi tingkah laku, semua tidak akan check-out MySejahtera ketika meninggalkan sesuatu premis.

“Jadi, kita akan cari jalan penyelesaian tentang perkara itu, katanya.

Tambahnya, niat mewujudkan ciri tersebut adalah baik untuk mendapatkan maklumat individu berkaitan lokasi, lebih tepat dengan masa spesifik.

“Niat dia memang baik cuma dari segi pelaksanaannya perlu dimantapkan lagi, ” katanya.

Dalam pada itu, mengenai vaksin kepada remaja bawah 12 tahun, Khairy memaklumkan, kementeriannya sudah memulakan rundingan untuk mendapatkan vaksin bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Katanya, beliau sudah meneliti syarat dengan pengeluar vaksin berhubung ujian klinikalnya ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

Namun, beliau tidak menyebut vaksin itu akan diperolehi dari syarikat mana.

“Syarikat tersebut sekarang ini sedang membuat persiapan untuk menghantar data-data tersebut kepada semua badan regulatory utama dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia.

“Tetapi mereka kata memerlukan sedikit masa mungkin bulan depan akan menghantar maklumat tersebut untuk dinilai oleh NPRA supaya vaksin tersebut dapat didaftarkan untuk kanak-kanak bawah 12 tahun,” jelasnya.

Khairy berkata, baru-baru ini, beberapa buah syarikat telah menghantar ujian klinikal kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mendapatkan kelulusan vaksin kanak-kanak di bawah 12 tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here