APLIKASI MySejahtera mengesan seramai 523 individu yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) mendaftar masuk ke premis perniagaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 18 peratus individu didapati mendaftar masuk ke pasar raya.
“Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Covid-19 (JKPS) telah bermesyuarat penambahbaikan strategi pelaksanaan penguatkuasaan dan pematuhan SOP Covid-19.
“Dalam mesyuarat tersebut JKPS memandang serius mobiliti aplikasi MySejahtera mendedahkan sebanyak 523 check-in telah dikenal pasti dalam kalangan pesakit positif Covid-19 yang diberi perintah Home Survailance Order (HSO).
“Menurut data, sebanyak 18 peratus kes di pasar raya. Sehubungan itu tindakan tegas diambil dengan pantas dan tegas,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Menurut Hamzah, JKPS turut bersetuju penguatkuasaan di lapangan dilakukan oleh anggota polis.
“Ia termasuk tindakan menahan individu yang didapati melanggar perintah HSO di premis perniagaan ataupun di rumah.
“JKPS telah meminta KKM untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran HSO secara serta-merta real time (waktu sebenar) kepada polis bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan.
“Melalui maklumat tersebut PDRM akan dapat kita aturkan gerak terus ke mana-mana lokasi dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihak premis yang membenarkan individu dalam perintah HSO memasuki premis berkenaan akan turut dikenakan tindakan undang-undang. – Malaysiapost

