AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta kerajaan mempertimbangkan kebenaran bagi pasangan berlainan negara atau ‘Bi-Nasional’ untuk bertemu semula, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Syed Saddiq berkata, perkara itu telah beliau kemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di Parlimen semalam.
Katanya, beliau membangkitkan isu tersebut bagi membantu suami isteri atau pasangan yang menetap di luar negara bersama semula, selepas dua tahun tidak berjumpa disebabkan kekangan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya bertemu dengan YAB PM @ ismailsabri60 untuk memohon agar kerajaan membenarkan pasangan Bi-Nasional untuk bersatu semula selagi mereka mengikuti SOP yang ditetapkan oleh pemerintah.
“Sudah dua tahun suami, isteri atau pasangan terpisah kerana Covid-19. Mereka tidak keluar atau masuk negara untuk bersama pasangan kerana diklasifikasikan sebagai perjalanan tidak penting (non-essential travel).
“Bayangkan jika saudara atau saudari terpisah dari suami / isteri lebih dua tahun. Boleh bertahan? Mereka sudah cukup menderita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, beliau berkata, disebabkan sekatan pergerakan, ramai pasangan tidak dapat berjumpa dan ia menjadi punca kepada kes perceraian.
“Kita perlu menunjukkan belas kasihan. Masalah kesihatan mental, cerai, kesukaran yang tulen. Wajib bantu!
“YAB PM beri komitmen untuk membantu. Terima kasih! Mari doakan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost

