DESAS desus berita kehamilan selebriti terkenal, Neelofa kembali menerjah ruangan media sosial selepas tular gambarnya dan suami ketika berada di Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini.
Gelagat bekas pengacara Meletop itu yang berjubah kelabu kerap memegang bahagian perutnya ketika berjalan mencuri tumpuan lensa kamera media yang menunggu di luar pekarangan mahkamah.
Sebelum ini berita mengenai Neelofa dikatakan berbadan dua sudah timbul selepas menerima banyak ucapan tahniah menerusi ruangan komen di gambar yang dimuat naik dalam laman Instagram.
Namun begitu, sehingga kini selebriti tersebut masih mengunci mulut dan tidak membuat sebarang pengumuman di media sosial.
Neelofa hadir bersama suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail di Kompleks Mahkamah Seremban hari ini bagi sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dihadapi mereka sebelum ini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3, pada 2 Mei lalu.
Kes berkenaan akan disebut semula di mahkamah sama pada 21 Oktober depan.
Pasangan selebriti tersebut diijabkabulkan dalam satu majlis di ibu negara pada 27 Mac lalu. – Malaysiapost

