PEMUDA Umno mengakui ada pihak memandang sinis seolah-olah perjuangan bayaran ‘one-off’ RM10,00 skim i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pergerakan itu bertujuan membolehkan rakyat mengambil kesempatan untuk pergi melancong.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak dinafikan mungkin ada dalam kalangan pemohon berfikiran singkat sebegitu yang sanggup menggadai masa depan mereka.
Namun beliau meminta semua pihak agar tidak mengganggap semuanya mempunyai niat sebegitu kerana ramai rakyat yang susah dan tertekan hari ini akibat pandemik Covid-19.
“Saya cuba rumuskan daripada ribuan mesej yang Pemuda Umno terima termasuk ratusan yang saya sendiri terima daripada komen dan mesej peribadi yang meluahkan perasaan daripada pelbagai kaum.
“Sejak Januari ramai yang dibuang kerja, ditamatkan kontrak, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan serta lain-lain lagi.
“Ramai yang punya komitmen bulanan tetap dan tinggi tak mampu nak bayar. Ramai berhutang dengan Ah Long untuk kelangsungan hari ini terjerat nak bayar bunga sahaja selain ramai terdesak sehingga berkira-kira nak bunuh diri,” katanya hari ini.
Asyraf Wajdi berkata atas pelbagai sebab itulah beliau menbentangkan kepada Menteri Kewangan beberapa bulan lalu dan terbaharu kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, agar memahami pentingnya Jaminan Perlindungan Rakyat yang perlu diambil kira untuk penyelesaian jangka pendek yang mendesak.
“Solusi jangka panjang termasuk pelan strategik untuk mengeluarkan rakyat daripada kemelut ekonomi pandemik, penciptaan peluang-peluang pekerjaan juga harus bergerak seiring tetapi keutamaan hari ini untuk rakyat ‘survive’ sekarang,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap isu i-Citra RM10,000 one-off dapat dibawa oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke Mesyuarat Kabinet hari ini untuk dilaksanakan segera.
“Ramai yang mesej saya dalam keadaan tertekan dan terdesak sangat yang perlu dibantu dan dibela,” katanya. – Malaysiapost

