SUSULAN memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini, Polis Pahang telah menamatkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah bermula tengah malam tadi.
Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menasihatkan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun tiada lagi SJR.
“Usaha dan tanggungjawab bersama mampu mencegah penularan pandemik Covid-19 daripada terus berleluasa,“ katanya menerusi kenyataan.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pahang antara tiga negeri beralih ke fasa PPN berikutnya berdasarkan penilaian risiko terkini oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN.
Selain Pahang, negeri lain ialah Negeri Sembilan yang beralih ke Fasa Empat dan Johor ke Fasa Dua yang berkuat kuasa hari ini. – Malaysiapost

