Kes pendakwah: Polis buka kertas siasatan penyebaran mesej, video lucah

0
2

SEGALA bukti dan maklumat berkaitan dakwaan salah laku dan gangguan seksual didakwa dilakukan seorang pendakwah terkenal sewajarnya diserahkan kepada polis dan bukan disebarkan di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata perbuatan menyebarkan bukti dan maklumat itu jelas mengganggu proses siasatan polis ke atas pendakwah terbabit yang kini masih berjalan.

Sehubungan itu, katanya, polis membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran video dan mesej lucah berkenaan, lapor Berita Harian.

“Kita minta orang ramai di luar sana agar menghormati siasatan yang kini sedang dijalankan secara lebih terperinci pihak polis.

“Patuhilah undang-undang kerana kita tidak mahu kenyataan yang disebarkan itu mengganggu siasatan kes yang sedang berjalan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Abd Jalil berkata, pihaknya memohon orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan supaya tidak menyebarkannya di media sosial.

“Hantar terus kepada polis bagi membolehkan kita melengkapkan kertas siasatan (ke atas pendakwah) seterusnya merujuk kepada Pejabat Peguam Negara. Polis berharap perkara ini diambil maklum dan difahami semua pihak yang mempunyai maklumat,” katanya.

Terdahulu, pendakwah terkenal Firdaus Wong Wai Hung hari ini membuat pendedahan dengan berkongsi maklumat didakwa bukti berkaitan kontroversi gangguan seksual membabitkan seorang pendakwah dermawan.

Menerusi saluran Telegram, Firdaus memuat naik satu video memaparkan lafaz sumpah laknat oleh seorang lelaki yang mengaku abang kepada seorang daripada mangsa pendakwah terkenal terbabit.

Sebelum ini juga Firdaus mendedahkan rakaman suara dan tangkap layar perbualan lucah yang dikatakan milik pendakwah tersebut.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here