Penduduk Tasik Titiwangsa minta DBKL tangani isu kesesakan, kebersihan

0
2

PENDUDUK sekitar Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menangani beberapa isu khususnya kesesakan dan kebersihan di sekitar lokasi berkenaan.

Harapan disuarakan penduduk dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut dihadiri Presiden Penduduk Taman Tasik Titiwangsa, Datuk Dr Guna Sittampalam.

Nik Nazmi berkata isu pertama dibangkitkan ialah semakin banyak rumah di kawasan berkenaan telah ditukar kegunaan sebagai premis komersial dan perniagaan hingga menimbulkan pelbagai impak kepada penduduk.

Sidang media penduduk Taman Tasik Titiwangsa bersama Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad di Pejabat Parlimen Setiawangsa hari ini berkaitan isu pembangunan kawasan sekitar dan peniaga sekitar Taman.

Antaranya, beliau menjelaskan, berlaku kesesakan dan menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan jiran berikutan kawasan perumahan mereka telah bertukar menjadi premis perniagaan.

“Situasi ini bertentangan dengan kegunaan asal kawasan tersebut dan memberi kesan kepada jiran-jiran.

“Berikutan itu, kita minta DBKL seboleh mungkin kembalikan semula kepada kegunaan asal rumah-rumah yang terlibat sebagai kediaman, bukan premis perniagaan dan komersial,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi berkata, penduduk berharap agar DBKL dapat menyusun semula penjaja di sekitar taman tasik berkenaan ke suatu lokasi lebih sesuai bagi mengelak isu kesesakan serta kebersihan.

Sidang media penduduk Taman Tasik Titiwangsa bersama Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad di Pejabat Parlimen Setiawangsa hari ini berkaitan isu pembangunan kawasan sekitar dan peniaga sekitar Taman.

“Kita faham ramai nak berniaga dalam keadaan ekonomi hari ini, namun kita minta DBKL susun peniaga agar tak timbul masalah dengan penduduk dan tak berlaku kluster (Covid-19) kerana kita tak keluar sepenuhnya dari pandemik.

“Jadi DBKL boleh tempatkan penjaja ini di tempat yang sesuai kerana ia sekarang mengganggu laluan,” katanya.

Beliau berkata usaha DBKL membangunkan semula Taman Tasik Titiwangsa dengan kos lebih RM100 juta amat baik sekali, namun isu-isu dibangkitkan penduduk perlu diberikan perhatian.

“(Jika tidak ditangani) Penduduk akan berhadapan isu ini setiap hari, kita bukan nak gaduh dengan sesiapa, tetapi DBKL kena ambil tindakan untuk tangani dari segi kesesakan dan kebersihan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here