Legenda All Blacks diumum ketua jurulatih baharu pasukan ragbi 15’s negara

0
1

KESATUAN Ragbi Malaysia (MRU) mengumumkan pemain legenda All Blacks, Rodney So’oialo sebagai ketua jurulatih baharu pasukan ragbi 15 sebelah (15’s) negara.

Menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini, MRU menyatakan Rodney bersetuju untuk membimbing pasukan ‘Bunga Raya’ selepas perbincangan singkat baru-baru ini.

“Dia merasa sangat bersemangat untuk memulakan tugas dan bersedia menempuh setiap cabaran untuk membawa kejayaan dan kemenangan kepada pasukan. Dia percaya, dengan persiapan baik, Malaysia dapat memberi cabaran sengit pada kejohanan akan datang.

“Oleh kerana Rom tidak dibina dalam sehari, lebih banyak masa diperlukan untuk membina semula pasukan sempurna yang mempunyai kemampuan yang kuat,” kata kenyataan itu.

MRU memaklumkan, Rodney berharap peminat ragbi Malaysia akan menyokong pasukan sepanjang masa, terutama semasa latihan dan permainan untuk membina hubungan yang baik antara kedua-dua pihak.

Kesatuan itu menambah, berasal dari sistem dan budaya ragbi yang sama dengan pengendali dari New Zealand, Brad Mika, lebih mudah bagi Rodney untuk bekerja dengan pemain yang sudah memiliki sikap serta minda yang sama.

“Dia berharap dapat memperbaiki beberapa kerja baik dilakukan oleh Brad dan berusaha menjadikannya lebih baik untuk pasukan terutamanya dari aspek taktikal.

“Jurulatih berusia 41 tahun itu berharap agar semua peminat dapat bersabar dan mempercayai prosesnya. Dia pasti akan berusaha keras untuk mempersiapkan pasukan untuk kejohanan terbesar Ragbi Asia.

“Kepada Rodney So’oialo, selamat datang ke Malaysia! Selamat datang ke keluarga Ragbi Malaysia,” katanya lagi.

Rodney pernah beraksi di Piala Dunia dan mempunyai pengalaman melatih kelab ragbi Jepun, Italy dan New Zealand.

Dia pernah menjadi kapten serta membuat 62 penampilan bersama All Blacks termasuk beraksi dalam dua Piala Dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here