Rentas negeri rancakkan kembali aktiviti pelancongan domestik – Nancy

0
2
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media status terkini gelembung perjalanan pelancongan domestik di Aswara.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam berhubung kebenaran rentas negeri dan pembukaan semula pusat pelancongan apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan pengumuman terbaharu itu sebagai indikasi positif bahawa industri ini akan kembali rancak menerusi aktiviti pelancongan domestik, sekaligus dapat segera dipulihkan.

Katanya, perkembangan ini juga melegakan para pemain industri untuk menggiatkan semula aktiviti ekonomi mereka.

“Kelonggaran baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri berkaitan aktiviti pelancongan iaitu membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

“Selain itu, operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness), dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.

“Termasuk pusat/premis/produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha/operator dan pelawat/pengunjung lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nancy yakin keputusan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri juga disambut baik keseluruhan rantaian pemain industri yang selama ini sudahpun bersiap sedia untuk kembali menyumbang kepada sektor pelancongan seni dan budaya di negara ini.

Tambahnya, dengan kembalinya semula aktiviti pelancongan yang melibatkan pergerakan manusia atau mobiliti, keputusan ini sudah tentunya akan mengatasi isu pekerjaan dan pendapatan bagi mereka yang berada dalam rantaian industri ini yang telah terjejas teruk sejak setahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri serta semua ahli Jemaah Menteri yang telah memberi sokongan padu kepada MOTAC sehingga membolehkan industri ini bernafas semula seiring dengan Pelan Pemulihan Pelancongan di bawah MOTAC yang dirangka sejak Julai tahun lalu sebagai langkah untuk merancakkan semula atau rebound industri pelancongan dan kebudayaan negara,” ujarnya.

Dengan kelonggaran yang bakal dinikmati ini, beliau turut menasihati seluruh penggiat industri pelancongan dan kebudayaan untuk melakukan persediaan awal yang sudah tentunya berkaitan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pengamalan norma-norma baharu terutamanya menjelang fasa endemik kelak.

“Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab dan saling bekerjasama bagi memulihkan kembali industri pelancongan dan kebudayaan negara ini.

“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya kelonggaran yang diberikan ini agar segala perancangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan akan berjalan dengan lancar.

“Teruskan pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan serta laksanakan aktiviti dengan penuh bertanggungjawab agar kita semua dilindungi daripada wabak pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here