JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pulau Pinang berjaya merampas 295 pelbagai spesis diindungi di sebuah premis di sekitar daerah Georgetown, Pulau Pinang.
Menurut kenyataan PERHILITAN di Facebook, jabatan itu menjalankan satu pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis tersebut pada 3 September lalu.
“Hasil pemeriksaan sebanyak 255 pelbagai spesies Tarantula, 10 ekor Asian Forest Scorpion, 10 ekor ular Ball Python, 8 ekor spesies mantis, 6 ekor spesies Long-tailed Chinchilla, 4 ekor pelbagai spesies katak dan masing-masing seekor burung Umbrella Cockatoo dan ekor burung Moluccan Cockatoo telah dirampas.
“Haiwan-haiwan itu disimpan tanpa sebarang dokumen yang sah oleh Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menurut kenyataan itu, melalui pemeriksaan penguatkuasaan berkenaan, seorang suspek berusia 28 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jelutong, Pulau Pinang dan kesemua barang rampasan telah dibawa ke Jabatan PERHILITAN Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

