MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini, sebulat suara menolak rayuan seorang bekas pengetua sekolah agama terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Jun 2018, yang membenarkan saman fitnah oleh Datuk Husam Musa.
Masri Che Yusoff didakwa memuatnaik satu tulisan dalam akaun Facebooknya pada 27 Oktober 2015 dengan menuduh bekas Naib Presiden PAS itu secara salah memberikan tanah seluas 414.37 hektar kepada sebuah syarikat.
Masri ketika menyiarkan tulisan tersebut merupakan ahli jawatankuasa PAS Kawasan Ketereh dan anggota Dewan Ulamak PAS Kelantan.
Husam kemudian menafikan tulisan berunsur fitnah yang bertajuk, “Sahaja Aku Faridhkan Tanah 414.37 hektar kepada Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Bhd (APKB)” itu.
Sementara itu, Husam yang diwakili peguam Faiz Fadzil berkata, penghakiman tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suraya Othman, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Suffian Abd Razak memutuskan anak guamnya berjaya membuktikan tulisan Facebook tersebut satu fitnah.
Katanya, defendan telah gagal membuktikan tiga pembelaan yang dibangkitkan iaitu justifikasi, ulasan saksama dan perlindungan bersyarat.
“Oleh demikian, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Jun 2018 itu dikekalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, dia perlu membayar jumlah gantirugi seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 10 Februari lalu sebanyak RM150,000.
Menurut Faiz, jumlah ganti rugi itu kekal kerana tiada rayuan difailkan di pihak Masri.
“Kos rayuan hari ini pula ditetapkan sebanyak RM15,000, manakala kos sebelum ini ditetapkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebanyak RM10,000 dan RM5,000,” katanya. – Malaysiapost

