TAN Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyifatkan syarat-syarat baru Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) ‘terlalu keras dan membingungkan’.
Bekas Menteri Pelancongan itu, berkata Malaysia seakan-akan merasakan bahawa seluruh dunia sedang berlumba-lumba untuk datang ke negara ini bagi menjadikannya “rumah kedua mereka”.
“Jika dibandingkan dengan apa yang diberi oleh negara-negara lain, termasuk negara maju, adalah ‘terlalu keras dan membingungkan’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan permohonan baru untuk program tersebut akan menjadi terlalu perlahan, malah yang sedia ada di Malaysia juga sedang berusaha berpindah ke negara-negara lain.
“Malah terlalu ramai negara-negara lain sedang menunggu mereka – dengan syarat-syarat dan kemudahan yang lebih baik dan menarik.
“Saya ingin mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri, mengkaji semula Memorandum Kabinet yang dibentangkan oleh saya sendiri, bagi pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia sekitar tahun 2003/2004, bagi melancarkan program “MM2H” tersebut,” katanya.
Beliau berkata, menerusinya kerajaan akan sedar bahawa program ini, jika dilaksanakan secara bijaksana dan bersunguh-sungguh, akan membawa faedah yang berbagai-bagai dan tersangat besar untuk negara.
“Perlu diingat, ketika ini terlalu ramai negara-negara lain juga sedang berlumba-lumba secara sangat aktif bagi pasaran yang sama,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tujuan Kementerian Pelancongan pada waktu itu adalah untuk mengendalikan sendiri program tersebut.
Katanya, objektifnya adalah untuk menarik sekitar 70,000 orang tetamu “MM2H” ini kepada negara setiap tahun – bukan untuk menjadi rakyat tetapi sebagai pelancong jangka masa panjang dan berkualiti.
“Mereka mungkin telah melabur berbilion wang di dalam Sektor Industri Hartanah kita.
“Begitu juga sumbangan mereka sudah tentu sangat besar dan sangat berkesan dalam bidang Pelancongan Perubatan, dalam memajukan sektor Pendidikan Swasta, membantu memajukan Malaysia sebagai Pusat Membeli-belah Antarabangsa dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu Jawatankuasa Bersama haruslah ditubuhkan segera untuk mengkaji semula syarat-syarat baru dan lama serta membaikinya.
“Semua yang berkenaan harus menerima hakikat bahawa terdapat terlalu ramai negara lain juga sedang berusaha mengalu-alukan permohonan ke negara masing-masing dan banyak juga dari kalangan negara ini mengenakan syarat dan kemudahan yang lebih menarik,” katanya. – Malaysiapost

