Pembangkang mahu isu pegawai SPRM ditahan dibahas

0
2

AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengemukakan usul supaya isu penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibahaskan di Parlimen.

Beliau berkata, ia kerana kes tersebut adalah suatu isu yang besar dan memberi kesan terhadap sebuah institusi yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh kerana satu perkara tertentu melibatkan kepentingan umum dan perlu disegerakan, saya mohon agar usul ini dibenarkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa sama, cadangan usul tersebut turut disokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson).

“Saya mohon pertimbangan kerana kes ini antara yang agak serius kebelakangan ini, bukan sahaja melibatkan kecuaian SPRM, harap pegar makan padi.

“Ini juga melibatkan polis dan ini jadi urusan polis, juga melibatkan Bank Negara kerana penyelewengan kewangan besar.

“Bank Negara pun tak dapat kawal AS$6 juta dolar yang ditipu dan dipalsukan. Sebab itu saya mohon beri ruang perkara ini dibahaskan supaya kita dapat penjernihan tentang permasalahan ini dari sudut tindakan berkesan oleh kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau sedang meneliti usul tersebut dan akan mempertimbangkannya.

Terdahulu, tiga pegawai kanan SPRM ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung pegawai kanan SPRM direman kerana didakwa terlibat dalam mencuri barang kes membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM25 juta (AS$6juta). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here