Firdaus Wong dedah bukti, tangkap layar mesej lucah didakwa pendakwah terkenal

0
2

PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung buat pertama kalinya menerusi platform media sosialnya tampil mendedahkan bukti seorang mangsa serangan seksual individu yang didakwa seorang pendakwah terkenal.

Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) menerusi siaran Telegramnya itu juga, mendedahkan rakaman suara dan tangkap layar perbualan lucah yang dikatakan milik pendakwah popular berkenaan.

Menurut Firdaus Wong, mangsa berkenaan telah menghantar tangkap layar kiriman WhatsApp dan Instagram kepadanya meminta untuk berkongsi bukti tersebut untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Beliau juga berkata, mangsa itu juga memintanya berkongsi semua bukti berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis.

Katanya, mangsa tersebut juga telah membuat laporan polis dengan kesemua bukti berkenaan turut diserahkan untuk disiasat pihak berkuasa.

“Setelah berbincang dengan sekumpulan penasihat syariah dan pakar perundangan, Alhamdulillah mereka memberikan keizinan kerana semua perkongsian ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan juga undang-undang.

“Buat pengetahuan sahabat semua, kesemua mesej ini saya telah lihat dengan mata saya sendiri daripada WhatsApp mangsa dan bukan sekadar mendengar kata pihak ketiga.

“Saya terpaksa berkongsi di saluran telegram kerana pada pandangan saya, mesej-mesej bertulis itu mempunyai elemen lucah melampau yang mungkin menyebabkan Facebook atau Instagram saya dipadamkan apabila ada individu yang membuat laporan,” katanya.

Perkara itu dijelaskan Firdaus Wong dalam dalam hantaran di saluran Telegram berkenaan.

Dalam pada itu, Firdaus Wong menegaskan beliau telah bersiap sedia sepenuhnya sekiranya ada pihak yang mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman.

Katanya, pihaknya tetap bersama dengan semua mangsa yang telah membuat laporan polis untuk mendapatkan keadilan.

Beliau menegaskan tetap teguh mempertahankan prinsip berani kerana benar dengan segala bukti telah disiapkan.

“Kepada yang selama ini mempersoalkan kenapa mangsa tidak buat laporan polis, kami telah buat laporan cuma tidak menceritakan agar tiada pihak menganggu siasatan.

“Setelah laporan dibuat, anda yang meminta bukti dikongsikan di media sosial tetapi kami enggan berbuat demikian kerana masih dalam siasatan polis dan tidak mahu menganggu tugasan polis. Kami dihina dan diserang, tiada masalah, kami bersabar.

“Kini setelah siasatan telah selesai dan atas permintaan mangsa-mangsa, kami kongsikan beberapa bukti-bukti yang telah diserahkan kepada polis sebagai kesedaran untuk masyarakat serta menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis,” jelas beliau.

Firdaus Wong memaklumkan, pihaknya akan terus membantu mangsa untuk keluar daripada masalah itu dan mendapatkan keadilan.

“Kami tidak menagih simpati atau pujian. Kami mohon sahabat doakan mangsa-mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

“Bak kata Kamal Affandi Hashim, ‘kita bukan nak kurangkan pemangsa seksual tetapi kita nak kurangkan jumlah orang daripada menjadi mangsa’.

“Yang pernah menjadi mangsa mana-mana pemangsa seksual, boleh hubungi kami di MRM Women’s Wing dan Insya-Allah kami akan membantu anda semampu dengan percuma untuk mendapatkan keadilan,” katanya.

Malah, menerusi beberapa tangkap layar perbualan pendakwah tersebut bersama seorang mangsa yang juga berstatus isteri orang.

Sementara itu, dalam hantaran terbaharu, Firdaus Wong menegur pengikut Telegramnya untuk tidak mempromosi atau berkongsi video-video yang kurang senonoh.

“Jangan pula sahabat meminta untuk menonton video-video tersebut.

“Cukuplah kami telah menonton untuk siasatan kami sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Harian Metro melaporkan polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pendakwah popular.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan dilaporkan sebagai berkata, siasatan masih dijalankan selepas polis mengambil keterangan mangsa yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/YAB Rhu Rendang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here