RM2.3 juta untuk pejabat 3 Duta Khas bagi tempoh 16 bulan

0
2

SECARA purata kerajaan dilaporkan membelanjakan lebih RM48,000 sebulan untuk bayaran keseluruhan staf bagi setiap Duta Khas bertaraf Menteri.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, di Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan jawapan bertulis itu, setiap pejabat Duta Khas iaitu Duta Khas ke Timur Tengah, Duta Khas ke China serta Duta Khas ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan diperuntukkan lima perjawatanan seperti perjanjian perkhidmatan yang termeterai.

Jawatan itu adalah Setiausaha Sulit Kanan Gred 54 dengan anggaran gaji bulanan maksimum RM13,251 serta imbuhan tetap RM2,000 dan Pegawai Khas Gred 52 anggaran gaji bulanan RM12,444 dengan imbuhan tetap RM1,600.

Selain itu adalah jawatan Setiausaha Sulit Gred 41/44 anggaran gaji bulanan RM10,406 serta imbuhan tetap RM,1,100; Setiausaha Pejabat gaji bulanan RM3,256 dengan imbuhan tetap RM810 dan pemandu anggaran gaji bulanan RM2,939 serta imbuhan RM745.

Kesemua pejabat Duta Khas berkenaan ditempatkan di ruang pejabat sedia ada di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dan tidak melibatkan sebarang kos secara langsung.

Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia dalam satu hantaran di Facebook, berkata jawapan diberikan hanya menyentuh perbelanjaan staf sahaja.

Beliau bertanyakan mengenai jumlah kos termasuk saraan, elaun, pejabat dan staf bagi Duta-Duta Khas yang bertaraf Menteri berkenaan dari tahun 2020 hingga 2021.

“Berdasarkan jawapan yang dikemukakan dalam Parlimen, secara purata kerajaan membelanjakan lebih RM48,000 sebulan untuk bayaran keseluruhan staf bagi setiap Ahli Parlimen bertaraf Menteri tersebut.

“Itu bermaksud kita telah berbelanja lebih daripada RM2.3 juta untuk pejabat tiga Duta Khas bagi tempoh 16 bulan,” katanya.

Menurutnya, AMK kekal dengan pendirian bahawa lantikan tersebut merupakan satu bentuk pembaziran, iras ‘scheme of things’ dan tanpa hasil yang jelas.

“Ini belum termasuk tambahan gaji Duta-Duta bertaraf Menteri itu sendiri,” katanya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju meneruskan lantikan tiga pemimpin politik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, China dan Asia Timur.

Mesyuarat Kabinet pertama pada 1 September lalu bersetuju menyambung pelantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah; Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke China dan Datuk Seri Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here