KPDNHEP kesan 228 kes produk langgar status halal

0
2

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan sebanyak 228 kes meliputi produk berkaitan makanan dikesan melanggar status halal dengan nilai rampasan sebanyak RM11.616040 juta setakat Ogos tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid, berkata rampasan tersebut adalah hasil pemeriksaan terhadap produk-produk yang tidak mematuhi status halal.

“Kita melakukan pemeriksaan terhadap logo halal dan produk halal itu sendiri. Sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jadi kita hanya menguatkuasakan penggunaan dan penandaan logo halal.

“Pemeriksaan turut dilakukan secara berkala bersama Jakim, malah pemeriksaan turut dibuat di tempat-tempat penyembelihan, kilang memproses dan premis makanan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkaitan langkah-langkah mengatasi serta jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada import daripada luar negara atau keluaran dalam negara.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilaporkan mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import, seterusnya menambah baik kelemahan yang ada dan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

Tindakan lain adalah mempromosi badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf JAKIM serta meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis pengimport daging, pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta rumah penyembelihan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here