Lebih 80 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

0
1

PERATUSAN vaksinasi populasi dewasa di Malaysia sehingga semalam adalah 80.2 peratus membabitkan 18,766,340 individu yang lengkap vaksinasi.

Manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah sebanyak 93.2 peratus atau 21,813,163 individu menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin kini, setakat semalam adalah 40,925,929 dos.

Berdasarkan data dan infografik dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba di laman Twitternya, jumlah dos vaksin yang diberikan semalam adalah 261,255 dos.

Sebanyak 123,414 dos adalah dos satu daripada dua dos dan 137,841 dos lengkap.

Peratusan populasi keseluruhan di Malaysia yang lengkap vaksinasi adalah 57.5 peratus, manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah 68.1 peratus.

Jumlah populasi dewasa di Lembah Klang yang lengkap vaksinasi kini sudah melebihi 100 peratus iaitu 107.4 peratus, diikuti Labuan 98 peratus dan Negeri Sembilan 94.4 peratus.

Sarawak juga mencatatkan peratusan populasi dewasa lengkap vaksinasi yang tinggi iaitu 89.2 peratus, manakala Perlis mencatat 85 peratus.

Empat negeri kini merekodkan kadar vaksinasi lengkap lebih 70 peratus bagi populasi dewasa iaitu Terengganu (79.3), Melaka (78.9), Pulau Pinang (76) dan Johor (72).

Kedah pula mencatatkan 64 peratus, diikuti Perak (62.3), Pahang (62.2) dan Kelantan (60.7), manakala Sabah hanya mencatatkan 55.9 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here