Najib persoal jumlah sebenar kematian akibat Covid-19

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan jumlah kes kematian harian yang dilaporkan ketika ini jauh lebih tinggi berbanding pada Julai dan Ogos lalu.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan kes kematian yang tinggi setiap hari pada bulan ini yang dikatakan berpunca daripada tunggakan atau ‘backlog’ kes yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata persoalannya sekarang adalah mengapa kes kematian kurang dilaporkan dengan ketara dan konsisten sebelum ini oleh kerajaan lama terdahulu.

“Setelah melaporkan 334 kematian Covid semalam, jumlah kumulatif kematian Covid-19 Malaysia telah cecah 24,078 nyawa.

“Sejak awal September ini, KKM telah melaporkan kes kematian yang tinggi setiap hari. Mengikut KKM, ini adalah disebabkan oleh tunggakan atau ‘backlog’ kes kematian dari bulan Julai dan Ogos yang tidak dilapor masa itu.

“Jadi, persoalannya ialah mengapa kes kematian dikurang lapor dengan ketara dan konsisten pada bulan Julai/Ogos lalu bawah kerajaan lama?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan adakah yang menyebabkan kurang lapor kematian masa itu kerana tidak berlaku tunggakan sebelum Julai.

“Akibatnya, kadar kematian Covid-19 Malaysia ketika ini masih antara tertinggi dalam dunia ketika ini biarpun KKM kata kematian Covid-19 sebenar setiap hari sudah turun,” katanya.

Najib turut memberi perbandingan kes kematian harian di Malaysia dengan beberapa negara ASEAN yang lain berdasarkan kadar saiz penduduk.

Menurutnya, Malaysia mencatatkan 334 kematian (10 kematian bagi setiap 1 juta orang), manakala Vietnam 240 (2 kematian bagi setiap 1 juta orang), Indonesia 171 (0.6 kematian bagi setiap 1 juta orang), Thailand 143 (2 kematian bagi setiap 1 juta orang) dan Filipina 140 (1 kematian bagi setiap 1 juta orang).

“Ya, kadar kematian baharu Covid-19 yang dilapor Malaysia adalah masih berkali-kali ganda lebih tinggi berbanding negara lain dalam ASEAN akibat tunggakan kematian yang hanya dilapor sekarang.

“Dari segi jumlah kumulatif kematian bagi setiap 1 juta penduduk pula, Malaysia adalah paling corot dalam ASEAN iaitu Malaysia (732), Indonesia (508), Filipina (333), Thailand (223) dan Vietnam (178),” katanya. – Malaysiapost