Pendirian PAS matang

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

PENDIRIAN PAS yang matang dalam menerima keputusan penamaan calon Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah wajar dipuji dan dihargai.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MOT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan parti itu berjiwa besar.

Katanya, PAS memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah.

“Ini adalah tindakan berjiwa besar PAS yang memahami kepentingan muafakat secara taktikal atas wadah yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN).

“Rakyat mengharap PN dapat menjadi contoh dalam toleransi kuasa politik atas kepentingan dan agenda bersama bagi mentadbir negara ini. 

“Kunci di sini ialah diplomasi dan perkongsian berdasarkan realiti sosio-politik tempatan agar semua pihak merasakan semangat kebersamaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, simbol atau bendera yang dijunjung oleh PAS, Bersatu, STAR dan PBS untuk PRN Sabah adalah satu iaitu PN. 

“Maka adalah benar kenyataan ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki bahawa secara tersiratnya PAS bagaikan tetap bertanding di Sabah, iaitu melalui PN yang turut diwakili PAS.

“Diharap rakan-rakan komponen lain dalam PN terus berusaha mengukuhkan lagi kesefahaman, permuafakatan, kerjasama, perkongsian, toleransi dan saling hormat-menghormati antara kita semua agar sasaran untuk membebaskan Sabah dari proksi DAP serta pihak yang berfikiran kenegerian sempit dapat dicapai,” katanya. – Malaysiapost