Harga ayam di Selangor stabil, dijual bawah RM9.50

0
2
Tinjauan Malaysiapost berkaitan harga ayam di Pasar Seksyen 6 Shah Alam hari ini.

PEMANTAUAN serta pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh Selangor mendapati peniaga ayam di negeri itu memberi kerjasama baik untuk membuat semakan semula dan menurunkan harga jualan.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sejak 13 sehingga 19 September lalu, 339 premis terdiri daripada pembekal dan peruncit telah diperiksa susulan kenaikan harga ayam yang mendadak di pasaran.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sejumlah 247 premis sedia patuh menjual pada harga lebih rendah dan disarankan iaitu RM9.50, manakala 86 premis lagi bersetuju membuat perubahan harga jualan dengan menurunkan harga secara serta-merta kepada RM9.50.

“Sebanyak enam premis lagi setuju secara bersyarat untuk menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah,” katanya selepas meninjau harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6 di Shah Alam hari ini.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni

Mohd Zawawi berkata pemeriksaa harga ayam yang dijalankan dalam tempoh sama juga menunjukkan penurunan dan kestabilan harga runcit, iaitu harga purata jualan runcit ayam mula dijual antara RM8.50 sehingga RM9.50.

Katanya, harga itu adalah hasil daripada semakan semula dan perubahan harga dibuat oleh pihak peniaga semasa pemeriksaan penguatkuasaan oleh penguat kuasa KPDNHEP Selangor.

“Contohnya Pasar Awam Pekan Subang, sebelum ini menjual ayam dengan harga RM10 dan telah menurunkan harga kepada RM9.50 dan Pasar Awam Sungai Besar menurunkan harga daripada RM10.50 kepada RM9.50,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP juga telah membuat tindakan pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu sebanyak dua notis kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat terperinci.

“Kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini dalam situasi terkawal dan stabil,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here